𝗣𝗘𝗡𝗚𝗨𝗥𝗨𝗦𝗔𝗡 𝗛𝗔𝗥𝗧𝗔 𝗣𝗨𝗦𝗔𝗞𝗔

 Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

Dalam kita sibuk mengumpul harta di dunia, bersediakah kita menghadapi mati? Adakah dengan harta-harta yang kita tinggalkan di dunia kepada keluarga kita yang masih hidup di dunia ini betul-betul mampu menggembirakan mereka?

Adakah dengan peninggalan harta yang banyak kepada keluarga yang masih hidup ini menjadi jaminan kita dapat mati dengan tenang?


Persoalan pertama:

Apa proses yang berlaku kepada harta-harta yang kita tingalkan di dunia ini?


Persoalan kedua: 

Setelah kita sudah tiada dimuka bumi, apa yang pewaris perlu buat untuk urusan harta yang ditinggalkan itu?


Laporan ada mengatakan sebanyak RM70 billion harta umat Islam yang gagal dituntut sehingga kini akibat daripada kegagalan waris-waris dalam menguruskan pembahagian kepada harta pusaka dan Laporan Jabatan Tanah dan Galian Negara 2016 mendedahkan statistik harta beku melebihi RM60 bilion dan kian meningkat saban tahun.


Secara amnya, terdapat tiga cara dalam menguruskan bagi mendapatkan Perintah Pembahagian kepada harta pusaka iaitu:


1. Amanahraya

2. Pejabat Pusaka Kecil

3. Perintah Mahkamah Tinggi


Bagi harta pusaka yang secara kolektif bernilai RM2 juta ke bawah, ianya boleh diuruskan di Amanahraya atau Pejabat Pusaka Kecil.

Caranya ialah dengan hadir ke mana-mana cawangan Amanahraya atau Pejabat Tanah dan melengkapkan borang pembahagian pusaka.

Setelah borang tersebut dilengkapkan, pihak Amanahraya atau Pejabat Pusaka Kecil akan menetapkan tarikh untuk Bicara Pusaka yang mana kesemua waris-waris yang layak menerima pusaka wajib untuk hadir bagi menentukan hak pewarisan dan tatacara pembahagian harta pusaka tersebut.

Namun begitu, prosiding di Amanahraya dan Pejabat Pusaka Kecil biasanya memakan masa yang panjang untuk melupuskan sesuatu kes kerana bilangan jumlah kes yang banyak, dan termasuk juga faktor penangguhan tarikh disebabkan kegagalan ahli waris untuk hadir pada tarikh yang ditetapkan.

Antara cara dan prosedur lain yang boleh dilakukan oleh pewaris adalah dengan memohon di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan Perintah Pembahagian yang mana melalui proses ini, tempoh masa untuk sesuatu kes itu diselesaikan adalah lebih cepat, tertakluk kepada tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah.

Walaupun begitu, dokumen-dokumen yang perlu disediakan agak bersifat teknikal dan terdapat prosedur yang perlu diikuti dan dipatuhi. 

Justeru, pihak pewaris yang berhasrat untuk menggunakan forum Mahkamah ini, dapatkanlah nasihat dan khidmat peguam. 

Ia akan lebih memudahkan cara serta urusan kerana waris-waris tidak perlu hadir sendiri ke Mahkamah pada setiap tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah untuk kehadiran pihak-pihak.

Sebaliknya, hanya wakil yang telah dipilih dan dipersetujui oleh semua waris untuk menjadi pentadbir sahaja yang perlu menghadirkan diri bersama-sama peguam yang mana pada kebiasaannya (sekiranya tiada sebarang isu atau pertikaian berbangkit), Pentadbir tersebut hanya perlu menghadirkan diri sekali sahaja di Mahkamah untuk tujuan pengesahan identiti.


Bagi tujuan pengurusan pusaka di Mahkamah Tinggi, tatacaranya secara ringkas adalah seperti berikut:-


1. Waris-waris dikehendaki menyediakan maklumat dan butiran pemilik harta si mati, disokong dengan dokumen seperti Sijil Kematian;

2. Waris-waris perlu menyenaraikan dan memperincikan kesemua harta-harta tinggalan simati sebagai senarai aset;

3. Kesemua aset tersebut juga perlu disediakan dengan bukti dokumentasi seperti geran tanah, geran kenderaan, pengesahan akaun bank dan sebagainya;

4. Perlu juga menyenaraikan kesemua senarai waris yang layak menerima pusaka daripada harta simati tersebut, disokong dengan dokumen pengenalan;

5. Waris-waris pula perlu melantik Pentadbir dan Pentadbir boleh jadi seorang atau maksimum sehingga 4 orang;

6. Kemudian peguam yang dilantik akan meneruskan dengan menderaf Notis Permohonan bagi mendapatkan Surat Kuasa Wakil yang mana setelah mendapat Perintah untuk Pentadbiran tersebut, Pentadbir boleh mencairkan asset-aset alih seperti akaun bank, KWSP, Tabung Haji dan sebagainya; dan
7. Bagi aset tak alih seperti tanah pula, waris-waris perlu mendapatkan melalui satu lagi proses permohonan bagi mendapatkan Perintah Pembahagian yang mana melalui perintah tersebut, harta-harta tersebut boleh terus dipindahkan kepada penerima melalui “vesting order”.
Antara soalan yang kerap ditanya adalah: Bagaimana dengan pembahagian Faraid? Adakah wajib untuk mendapatkan Perintah Faraid terlebih dahulu sebelum membuat tuntutan pusaka?
Jawapanya adalah TIDAK.
Tidak dinafikan bahawa pembahagian secara faraid itu adalah satu cara pembahagian harta pusaka di bawah hukum syarak. Proses faraid tersebut merupakan satu bentuk ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian dan siapa yang berhak menerima pusaka berdasarkan ketetapan bahagian yang telah digariskan dalam Al-Quran. 
Akan tetapi, bagi tujuan perlaksanaan dengan mana-mana institusi berkaitan, dokumen yang akan diminta dan diperlukan adalah Surat Kuasa Mentadbir.
Sekiranya terdapat pertikaian nilai bahagian hak sesama waris, perintah pembahagian faraid ini boleh dilakukan.
 
Sekiranya waris-waris bersepakat untuk mengurangkan atau melebihkan mana-mana hak yang daripada yang sepatutnya diterima, waris-waris boleh berbincang untuk mencapai sepakat mengenai peratusan pembahagian kepada setiap waris yang berhak sama ada waris-waris boleh bersetuju untuk harta pusaka dibahagikan secara sama rata, ataupun mengikut apa-apa cara mahupun nilai pembahagian lain yang dipersetujui.


Dalam salah satu kes yang mana simati meninggalkan 3 isteri dan kesemua 3 isteri tersebut, walaupun pada masa simati hidup mereka aman damai, timbul perasaan sangsi pada diri mereka dalam isu pembahagian pusaka memandangkan simati meninggalkan pusaka yang agak besar.


Dalam menangani isu tersebut, waris-waris dari kesemua 3 isteri telah mencapai kata sepakat untuk memilih peguam mengendalikan keseluruhan proses daripada pembahagian kepada aset kewangan, sehingga kepada menandatangani suratcara pemindahan harta-harta tak alih peninggalan simati.


Hal seperti ini boleh dilakukan yang mana, demi untuk mengelakkan sebarang pertikaian yang timbul akibat daripada rasa ketidakpercayaan atau kebimbangan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini ataupun ketirisan dalam pentadbiran harta pusaka tersebut, semua waris sekiranya bersetuju, boleh membuat akujanji persetujuan bahawa segala urusan aset kewangan dan harta simati dimasukkan ke akaun peguam yang dilantik dan kemudiannya peguam yang dilantik atas persetujuan itu tadi yang akan membuat pembahagian sepertimana dipersetujui kepada waris sepertimana yang sepatutnya.


Dengan cara itu, pembahagian akan lebih telus dan juga tidak timbul isu ketidak percayaan kepada Pentadbir atau dalam kalangan sesama waris itu sendiri kerana tidak dapat dinafikan bahawa sifat manusia itu adakalanya seperti anjing berebut tulang.


Proses pembahagian juga berakhir dengan suasana harmoni tanpa ada sebarang syak dan prasangka mengenai tatacara pembahagian kepada harta pusaka simati.


Bagi permohonan untuk mendapatkan Perintah Kuasa Wakil dan Perintah Pembahagian tadi, sekiranya tiada sebarang pertikaian daripada waris-waris dan dokumen lengkap, biasanya kes akan dapat dilupuskan dalam masa 6 bulan, tertakluk kepada tarikh Mahkamah.


Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah, setiap apa-apa perkara yang melibatkan harta pusaka orang yang telah mati ini, perlulah diuruskan sebaiknya. Bermuafakatlah demi mencapai satu hasil yang kelak pastinya akan dapat dinikmati bersama-sama. Janganlah kerana harta pusaka yang tidak seberapa menjadikan tali persaudaraan menjadi terputus.


Kepada semua, jangan ambil mudah terhadap ilmu pengurusan harta pusaka. Buatlah persediaan yang sewajarnya sejak kita masih hidup lagi agar tidak menyusahkan yang ditinggalkan hidup kelak. Sediakan senarai lengkap berkenaan aset dan hutang yang ada, dan simpan segala dokumen berkaitan di tempat yang mudah dicari.


Kepada waris yang ditinggalkan di dunia, cakna tentang apa yang perlu dilakukan oleh anda. Jangan ambil mudah dan ambil remeh kerana sekiranya ia ditangguhkan dan dilengahkan, akan lebih merumitkan proses dan akan lebih memakan masa, dan akhirnya harta pusaka tersebut langsung tidak dapat dinikmati kerana proses pembahagian tidak dapat diselesaikan.


Panduan di atas adalah gambaran kasar mengenai perjalan kes di Mahkamah.
Perjalanan kes yang sebenar mungkin ada melibatkan beberapa perkara lain yang akan ditentukan bersesuaian dengan kes tersebut.



Untuk dapatkan maklumat kebaikan takaful:
.
wasap.my/+601110724106/naktakaful
wasap.my/+601110724106/nakwasiat
.
Norul Fatihah Mohammad Nor
Ejen Perunding AIA Takaful & 
Ejen Wasiat, Hibah & Harta Pusaka (iLegasi)
#aia #aianorulfatihah #madamnour #mrhoho #aialunchtalk  #youtuber #blogger #haji #umrah #shopee #shopping #hibah #legasi #emas #simpanan #medical #ctdk #neelofa #ohmedia #ohbulan #siakapkeli #diy  #masak #cantik #kitajagakita #sayang #zerotohero #wasiat #hartapusaka #keluarga

Comments

Popular posts from this blog

18 GOLONGAN BERIKUT AMAT KRITIKAL UNTUK MELAKUKAN PERANCANGAN HARTANYA DENGAN SEGERA:

PERBEZAAN DI ANTARA HIBAH BERSYARAT DAN HIBAH MUTLAK

KENAPA NAK BAYAR TAKAFUL YANG MAHAL, BUKAN KE IA HANYA BEBANAN?